PArM In The News : Astro Awani

 

501_300

Click here to read this on Astro Awani

 

Prof Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin berkata, pokok perlu dilayani seperti manusia supaya ia kekal sihat, kukuh, dan selamat daripada tumbang. sumber-Astro AWANI

Prof Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin berkata, pokok perlu dilayani seperti manusia supaya ia kekal sihat, kukuh, dan selamat daripada tumbang. sumber-Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Pelbagai persoalan dan andaian berlegar dalam fikiran masyarakat berikutan isu pokok tumbang yang berlaku di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pokok yang dikatakan berusia 130 tahun itu tumbang berpunca daripada akarnya yang mereput, menurut laporan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagi Presiden Persatuan Arborist Malaysia, Prof Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin, walaupun punca pokok tersebut disebabkan akar yang mereput tetapi perkara itu boleh dielakkan jika penjagaan yang rapi dijalankan.

“Pokok-pokok perlu disediakan ruang yang sesuai supaya akarnya dapat menjalar dengan baik. Jika ruang yang diberikan tidak sesuai, pokok boleh mengalami tekanan hingga berpenyakit serta berisiko untuk tumbang.

 

“Jika kawasan pokok diganggu dengan jalan raya, laluan pejalan kaki, atau papan tanda, hal ini akan mencederakan pokok tersebut,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan DBKL yang akan merangka pelan Zon Akar Kritikal sebagai satu kaedah keselamatan untuk pengguna jalan raya.

Zon Akar Kritikal ialah kawasan pagar yang disediakan khas untuk pokok ketika kerja-kerja pembinaan sedang dilakukan.

“Pihak berwajib perlu meningkatkan pemautauan berkala terhadap pokok termasuk akar bagi mengenal pasti pokok yang berpenyakit yang berisiko untuk tumbang,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pokok yang berusia dan diserang penyakit, perlu diberikan rawatan kimia.

“Kaedah sokongan menggunakan apa-apa struktur atau kabel juga boleh menghalang pokok daripada tumbang.

“Orang awam juga boleh menjalankan tanggungjawab mereka dalam melihat keadaan pokok yang tidak sihat. Jika ranting-ranting kayu pada kanopi pokok berguguran, itu petanda pokok dalam keadaan tertekan dan perlu dirawat,” tambah beliau lagi.